Kereta kecil warna merah

Setakat ke hari ini, mainan yang tak lekang dari tangan anak saya Naufal ialah tiga biji kereta Hot Wheels. Kami perasan yang Naufal suka bermain mainan seperti kereta, lori, jentolak, dan sebagainya. Mainan yang ada tayar, beroda. Ada banyak mainannya sebelum ini rosak akibat Naufal bermain dengan lasak.

Sewaktu berjalan di pasar malam, saya ternampak orang menjual kereta Hot Wheels secara lambak. Sebiji kereta RM4, tiga biji RM10. Saya belikan Naufal tiga biji kereta Hot Wheels, warna putih, biru dan merah. Naufal benar-benar sukakannya.

kereta Hot Wheels

Pernah sekali, kereta kecil warna merah hilang entah kemana. Terpaksa kami melayan Naufal mencari di mana kereta merahnya. Terpaksa memujuk Naufal supaya dia tak menangis. Runsing juga kami dibuatnya. Walau kami pujuk dengan berjanji akan membelikan yang baru, Naufal tetap merengek meminta kereta kecil warna merahnya.

Keesokan harinya, entah bagaimana, Naufal sendiri yang jumpa semula kereta merahnya. Sayang betul Naufal kepada kereta Hot Wheelsnya. Malah tidur pun, tangan tetap nak pegang kereta Hot Wheelsnya itu. Aduhai.

Tahan lasak juga kereta Hot Wheels ini. Walau pun warnanya sudah tertanggal sedikit, tapi ia tetap utuh. Sesuai untuk Naufal yang lasak.

Naufal dan kereta Hot Wheels di kedai makan

Teringat saya kepada lagu "Kereta kecil warna merah" yang dinyanyikan waktu sekolah rendah dahulu.

Papaku pulang dari kota
Papaku belikan kereta
Kereta kecil warna merah
Bolehku bawa ke sekolah
Pom pom pom pom pom pom pom pom pom
Kereta kecilku berbunyi
Marilah adik mari naik
Bolehku bawa jumpa nenek

Anda pernah nyanyi lagu ini waktu sekolah rendah dahulu?

  • Created on .
  • Hits: 5283