Buku Balqis Di Mata Kami, Di Sisi-Nya

Sebuah buku travelog kisah benar sepasang ibu bapa membesarkan anak istimewa, anak yang menghidap cerebral palsy iaitu kelumpuhan otak, disebabkan dari kekurangan oksigen yang sampai ke sel-sel otak, yang berpunca dari keadaan jantung yang rumit dan luar biasa kejadiannya.

Pengarangnya menggunakan nama pena Ummu Naufal, yang dalam bahasa Melayu bermaksud Ibu Naufal. Tajuk buku Balqis, nama pengarang Ummu Naufal. Kebetulan sungguh! Saya ada anak yang bernama Naufal dan Balqis, cuma yang membezakan, Balqis adalah anak sulung pengarang, dan saya pula, Balqis adalah anak kedua. Jadi, sebab utama yang menarik minat saya untuk baca buku ini ialah nama Balqis dan Naufal itu.

Buku ini ditulis tidak secara kronologi masa, tetapi ditulis secara anekdot himpunan catatan pengembaraan pengarang bersama suami dan anak yang istimewa.

Membaca kisah anak istimewa, yang penuh dengan cabaran dan dugaan dalam membesarkannya, membuatkan saya rasa penuh keinsafan. Apabila rasa geram sangat anak tak ikut cakap saya, terjerit-jerit, saya kenang kembali kisah Ummu Naufal dalam buku ini. Bagaimana beliau dengan tenang dan sabar mengatasi cabaran demi cabaran yang dilalui.

Apabila rasa geram sangat anak tak ikut cakap saya, terjerit-jerit, saya kenang kembali kisah Ummu Naufal dalam buku ini.

Pada waktu Balqis masih bayi, doktor mengesan kelainan pada denyut jantung Balqis, lalu dirujuk kepada IJN. Belum sempat temujanji di IJN, Balqis diserang kekejangan, yang mana menyebabkan bekalan oksigen ke otak tak cukup. Dari situ, bermulalah pengembaraan Ummu Naufal berserta suami mencari penawar buat Balqis. Ikhtiar secara perubatan Islam, perubatan tradisional, bomoh, banyak juga yang Ummu Naufal dah cuba. Ada yang benar, dan ada juga yang ada unsur-unsur syirik. Kita boleh faham, orang di sekeliling pasti akan memberi bermacam-macam cadangan, cuba jumpa Ustaz itu, jumpa bomoh ini, dan banyak lagi. Kadang-kadang membantu, tapi ada juga yang kurang sesuai dengan akidah dan ilmu perubatan.

Apabila suami Ummu Naufal mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di England, kesempatan itu diambil untuk mendapatkan rawatan buat Balqis di sana. Dengan kecanggihan dan kepakaran yang ada di England, mungkin ada penawar untuk memulihkan Balqis. Selesai tempoh pengajian, mereka pulang ke Malaysia. Ummu Naufal terjumpa buku Atiq Wazif: Satu Anugerah yang mengisahkan pengalaman ibu bapa hidup bersama anak istimewa yang juga cerebral palsy. Dari situ, Ummu Naufal bertemu dengan penulis buku Atiq Wazif : Satu Anugerah, dan Ummu Naufal lalu nekad mahu mendapatkan rawatan di sebuah pusat terapi di Fort Lauderdale, Miami.

Dari Miami, Ummu Naufal sekeluarga berhijrah lagi ke Arab Saudi kerana suami beliau mendapat tawaran kerja di sana. Di Arab Saudi juga mereka mendapatkan rawatan terapi untuk Balqis.

Sesuai dengan label Travelog Kisah Benar yang ditulis di kulit muka hadapan buku ini. Ummu Naufal sekeluarga bertekad mahu menjadi ‘kaki’ untuk Balqis, dan membawa Balqis mengembara ke tempat-tempat menarik, antaranya Abu Dhabi, Istanbul, Switzeraland, Niagara Falls, dan banyak lagi.

Pengajaran dari kisah benar ini.

Pengajaran yang boleh kita ambil dari kisah benar ini, antaranya :

  1. Bagaimana kita sepatutnya mengungkapkan kata-kata yang elok, lagi baik kepada ibu-bapa yang punya anak istimewa ini. Kadang-kadang secara tidak sedar, ungkapan kata-kata kita menyinggung perasaan ibu-bapa anak istimewa itu.
  2. Kebaikan yang ada pada negara yang rakyatnya majoriti tidak beragama Islam. Dalam soal ibadah khusus, kita peka dan prihatin. Dalam soal kebajikan sesama insan, kita kurang peka dan prihatin.
  3. Cabaran menghadapi masyarakat yang tidak memahami situasi yang dihadapi oleh keluarga dengan anak istimewa.
  4. Apa yang berlaku di rumah, di dalam bilik anak istimewa ini, yang mungkin ramai yang tidak tahu apa yang anak-anak istimewa ini telah buat. Ia amat menguji kesabaran.

Buku Buku Balqis Di Mata Kami, Di Sisi-Nya ini direkodkan dalam data pengkatalogan-dalam-penerbitan mengkelaskan buku ini sebagai :

  1. Parents of children with disabilitie--Anecdotes
  2. Children with disabilitie--Care—Anecdotes

Untuk beli buku ini, anda boleh beli secara online di sini.


Tags: Buku

  • Created on .
  • Hits: 4310