Baca Buku, Edit Video, Jalan-jalan.

Buku

Buku Memulakan Bisnes Sendiri

Buku ini sudah masuk ke cetakan keenam – Edisi kemas kini 2008. Memang betul apa yang tercatat di kulit muka depan buku ini, “bacaan wajib bakal usahawan”. Kenapa buku ini wajib dibaca oleh bakal usahawan? Atau yang sedang menjadi usahawan. Kenapa wajib baca? Kerana buku ini mendedahkan suka-duka dunia bisnes, pahit manis berniaga, helah dan tipu daya, serta sepak terajang dunia bisnes.

Perkara yang paling menarik sekali tentang buku ini ialah, ia banyak memaparkan kisah-kisah benar usahawan. Kisah benar usahawan perkhidmatan servis air-cond, kisah benar usahawan bunga telur majlis kenduri kahwin, kisah benar usahawan penulis novel yang mahu menerbitkan novelnya sendiri. Walaupun produk atau servis mereka laris, tapi aliran tunai mereka tersangkut apabila yang beli dengan kredit tak bayar hutang mereka.

Oleh kerana buku ini memuatkan banyak kisah benar, saya baca dengan penuh khusyuk hingga boleh habiskan satu buku ini dalam masa dua hari, semasa cuti Krismas tempoh hari. Apabila kita membaca cerita, kita akan rasa ingin tahu apa kesudahan cerita tersebut. Lebih menarik, kesudahannya tidak seperti yang kita jangka. Kita jangka apabila usahawan buka kedai, pasti akhirnya mereka akan banyak buat untung dan kaya-raya. Realitinya, tidak begitu.

Kalau tak percaya, tuan puan bolehlah baca buku Memulakan Bisnes Sendiri ini. Boleh beli dari Bookcafe. Atau pinjam dari perpustakaan, seperti yang saya lakukan. Hee..

Pada masa kini, banyak kita dengar pekerja-pekerja dari syarikat berkaitan minyak dan gas yang diberhentikan dan diberi pampasan. Kalau selama ini kita makan gaji, apabila ada banyak duit di tangan, jangan jadikan situasi banyak duit di tangan itu sebagai sebab untuk kita mula berniaga. Dikhuatiri, kerana kurang mahirnya kita dengan dunia perniagaan, kita tak tahu selok belok, tipu muslihat dunia bisnes yang penuh mencabar ini, kita bakal kerugian duit pampasan yang banyak itu.

Begitu juga halnya jika kita pandai menghasilkan produk, itu belum menjamin kita akan pandai pula berbisnes produk tersebut.

Saya yakin, makin ramai orang mula menceburkan diri dalam perniagaan, sama ada secara separuh masa (part time), mahupun sepenuh masa. Bahkan, ketika ini, sudah ada seruan kepada golongan belia dan mahasiswa untuk mula berjinak dengan berniaga.

Rasanya kita semua pernah terbaca kemudahan percuma bagi mahasiswa untuk mendaftarkan perniagaan mereka yang akan berkuatkuasa 1 Jan 2017 ini.

Selain dari perkongsian dan peringatan sisi kurang enak dunia bisnes, buku ini juga memberikan perkongsian nasihat dan tips bagaimana memilih bidang bisnes, bagaimana membangun dan mengembangkan bisnes. Begitu juga dengan nasihat-nasihat langkah berjaga-jaga supaya usahawan tidak diambil kesempatan oleh pelanggan, bahkan juga perlu berwaspada dengan rakan kongsi, dan juga bantuan orang politik.

Sungguh, jika tuan puan mahu memulakan bisnes sendiri, sebelum tuan puan lebur modal yang berpuluh ribu malahan ratus ribu itu, lebih baik, laburkan dalam sekitar RM30 dengan membeli buku Memulakan Bisnes Sendiri ini. Belilah secara online, buku akan dihantar terus ke alamat tuan puan.

Ramai di antara kita yang mahu menjadi usahawan, mungkin kerana banyak kisah-kisah kejayaan usahawan yang selalu ditayang di media massa. Namun, realiti pahitnya dunia bisnes ini, amat kurang sekali kita jumpa, sedangkan hakikatnya, bilangan bisnes yang gulung tikar adalah lebih banyak jika nak dibandingkan dengan bisnes yang berjaya. Jika tuan puan mengikuti penulisan Pn. Ainon Mohd di FB, beliau selalu mengingatkan bahawa lebih 90% bisnes tutup dalam masa 3 tahun berbisnes.

Dapatkan ilmu bisnes yang betul dahulu. Jadikan buku ini sebagai permulaan untuk tuan puan menimba lebih banyak lagi ilmu-ilmu bisnes, dan membangunkan bisnes tuan puan, sehingga menjadi kaya-raya.