Baca Buku, Edit Video, Jalan-jalan.

Random

Evernote, alat untuk jadi lebih produktif

Apabila kita berjaya menyiapkan sesuatu tugasan yang diberi, pasti kita akan mula merasakan satu macam perasaan dalam hati. Rasa puas. Rasa senang dengan diri, dan mula rasa yakin dan percaya terhadap kemampuan diri. Suatu ketika dahulu, saya cuba untuk mencatatkan kemajuan saya dalam sesuatu tugasan dalam buku nota kecil. Yang menjadi cabarannya ialah, apabila tertinggal buku nota tersebut, atau lebih parah, kalau buku nota itu hilang, hilanglah sekali idea-idea dan catatan penting berkaitan dengan tugasan kita.

Agak lama juga saya mula perasan dengan aplikasi Evernote untuk merakamkan segala idea yang terlintas, atau catatan ringkas berkaitan kerja dan tugas secara atas talian. Baru kini saya mula memahami dan menggunakan sepenuhnya aplikasi Evernote ini untuk mencatat kemajuan saya dalam banyak tugasan, atau merekodkan segala idea yang terlintas di fikiran, agar boleh saya rujuk kembali pada masa hadapan.

Kelebihan aplikasi Evernote yang boleh sync data antara peranti, banyak memudahkan kerja saya. Misalnya, sewaktu idea untuk menulis entri blog di ringantangan.com terlintas di minda, waktu itu cuma telefon pintar yang ada di tangan, saya boleh terus sahaja menulis secara ringkas idea itu, moga tak hilang dari minda di kemudian waktu. Selepas dari itu, saya boleh capai catatan tersebut, dan membuat penambahbaikan idea saya itu tadi di mana-mana, sama ada di telefon pintar, mahupun di komputer, bahkan di komputer di pejabat pun boleh capai, asalkan ada capaian internet. Memang sangat memudahkan.

Buat masa ini, pihak Evernote telah mengemaskini harga pelan langganan perkhidmatan aplikasinya. Dahulu, untuk akaun asas (basic), percuma, dan kita boleh synckan nota-nota kita pada banyak peranti yang kita ada. Kita mungkin ada tablet, telefon pintar, dan laptop, kesemua peranti boleh kita pasangkan aplikasi Evernote ini. Kini, untuk akaun asas, mereka hanya benarkan 2 peranti yang boleh dipasang dengan aplikasi Evernote.

Walaupun begitu, untuk peranti lain, komputer di pejabat misalnya, kita masih boleh capai nota-nota kita di Evernote melalui pelayar laman web seperti Chrome ataupun Firefox. Saya cadangkan guna Chrome, kerana boleh pautkan (link) dokumen atau fail-fail kita dari Google Drive dengan mudah. Firefox masih tak sokong ciri ini, setakat hari ini (10 Sept 2016).

Saya melihat, aplikasi Evernote ini membolehkan kita untuk menjadi lebih produktif dalam kerja, keluarga, khidmat masyarakat dan sebagainya. Lebih-lebih lagi kepada orang yang suka menulis. Cubalah Evernote pada telefon bimbit anda atau laptop anda, dan juga ikuti banyak tip-tip untuk memanfaatkan sepenuhnya Evernote ini di Youtube.