Kuih Keria sedap di Kampung Baru, KL

kuih-keria-kampung-baru_20170111_003.jpg

“Wak yang jual kuih tu mula jual pukul 10 pagi, dalam sejam dua habis lah.” Kata rakan sekerja saya. Orang lama, ada banyak pengalaman. “Nanti pukul 10 kita gerak pergi beli”. Baik punya rancangan. Pukul 10 pagi, kami pergi ke Warung Mak Ipah yang terletak di Jalan Raja Muda Musa 5, Kampung Baru.

Nak camkan warung yang mana satu, ada pokok jambu air buah warna hijau, dan telefon awam (public phone) lama warna biru, di situlah Warung Mak Ipah. “Selalunya pukul 10 pagi Wak akan bawa keluar kuih-muihnya, mungkin waktu ni dia tengah siapkan sikit lagi kuihnya.” Rakan saya memberi penerangan.

Sementara menunggu Wak itu datang dengan kuih-muihnya yang dikatakan sangat sedap dan besar saiznya, kami pesan dahulu Mee Rebus sebagai minum pagi.


Mee rebus yang sedap.

Rakan sekerja saya bercerita suasana yang akan kita lihat nanti, betapa ramai pelanggan yang ternanti-nanti kuih yang dijual Wak. “Nanti kau tengok, ramai orang beratur yang nak beli. Wak letak jer kuih atas para tu, orang ramai serbu.” Saya mengagguk-angguk sahaja.

Dalam hati tertanya-tanya, betulkah bagai dikata? Selagi saya tak nampak sendiri, rasa macam payah nak percaya. Sambil-sambil itu, kami menikmati kesedapan Mee Rebus yang kami pesan tadi.

Air minum, saya pesan air kosong sahaja, cita-cita nak kurus. Hehe..

Sedang kami sedap menikmati Mee Rebus, akhirnya Wak yang dinanti-nanti pun muncul dengan kuih-muihnya yang disusun membukit penuh dalam dua dulang. Dulang itu ditutup dengan suratkhabar lama. Satu dulang Wak kepit di kiri, satu dulang dikepit di kanan. Penuh tangan dah.

“Haa.. tu Wak dah mari.” Rakan saya senyum ke arah Wak. Peramah rupanya Wak ini. Rakan saya bertegur sapa dengan Wak dalam bahasa Jawa. Mereka gelak-gelak, senyum-senyum. Hingga Wak kata kepada rakan saya itu “ada saja jawapan, kau ni.”

Baru sahaja kuih-muih itu diletak atas para, tiba-tiba entah dari mana, datanglah pelanggan 4, 5 orang serbu. “Nanti dulu, ada lagi 4 dulang kuih.” Kata Wak. Jadi pelanggan awal ini pun tunggulah sebentar, sementara Wak pergi ambil lagi 4 dulang kuih dari rumahnya untuk diletak di warung.

Tak lama kemudian, Wak pun sampai dengan bawa 2 dulang, dikepit kiri dan kanan. Selepas itu, dia pergi lagi ambil lagi 2 dulang. Saya tertanya, bagaimana dia boleh kendong 2 dulang, kiri dan kanan, adakah dia letak dulang itu atas meja sebelum dikepit ke pinggangnya? Atau mungkin ada pembantu yang meletakkan dulang di kiri dan kanan Wak, untuk dikendong ke warung.

Pelanggan yang menanti, terus sambar plastik untuk membungkus kuih-muih yang terhidang. Ada yang ambil 3 plastik, ada yang ambil 5 plastik. Kuih-muih yang dijual adalah kuih keria (gula putih), kuih karipap, kuih bom (tepung pulut dan ada juga keledek). Sebiji kuih dijual dengan harga 50 sen.

Saya sendiri sambar 3 plastik. 1 plastik saya isi 5 biji kuih. Semuanya 15 biji kuih jumlahnya. RM 7.50. Saya bungkus untuk diberikan kepada rakan-rakan yang di pejabat.

Memang sedap kuihnya. Besar, rasa kuihnya pun sedap. Kata orang, Wak ini buat kuih, bukan semata untuk jual, tetapi dia buat kuih seolah-olah dia nak makan sendiri. Jadi memang puas hati makan kuih itu.


Wak yang peramah dan mesra.

Kalau anda nak cuba rasa kuih keria sedap di Kampung Baru, KL, datanglah ke Warung Mak Ipah, di Jalan Raja Muda Musa 5. Waktu operasi kuih-muih, ialah sekitar pukul 10 pagi. Pukul 11 pagi, kemungkinan besar kuih dah habis. Namun, menu-menu makanan lain, seperti Mee Rebus, Ayam Penyet, masih ada.

Tags: Jalan-jalan

  • Created on .
  • Hits: 1712