Proses Kurangkan Berat Badan itu Memang Perlahan.

Bagaimana dengan perjalanan anda untuk kurangkan berat badan? Apakah ada sedikit kemajuan? Ramai yang saya kira berazam untuk kurangkan berat badan di permulaan 2017 tempoh hari. Kini kita dah masuk ke Febuari, kita patut semak semula, apakah kita di landasan yang betul menuju destinasi berat badan ideal? Seterusnya mendapatkan tubuh badan yang sihat sejahtera, lagi cantik bergaya. :)

Suka saya mengingatkan bahawa proses menurunkan berat badan ini memang mengambil masa yang panjang. Sebagaimana kita mengambil masa untuk mengumpul berat badan yang sekarang, begitu juga jangka masa yang akan diambil untuk mengurangkan berat badan kita. Bercakap tentang cepat, ia ada hubung-kait dengan soal rasa. Contohnya apabila kita di hari-hari akhir bercuti panjang, dan esoknya kita akan datang kerja semula, kita akan berasa, “haaii.. cepatnya masa cuti habis..” Sedangkan, kita telah bercuti panjang, tetapi disebabkan oleh kita ralit / leka dengan pelbagai aktiviti menarik di sepanjang masa bercuti itu, kita tak perasan betapa cepatnya masa berlalu.

Begitu jugalah dengan jangka masa untuk menurunkan berat badan. Cepat atau lambat, itu hanyalah perasan kita terhadap masa yang berlalu. Andai kita isikan masa kita dengan banyak aktiviti, kita pasti akan berasa masa berlalu dengan pantas. Sedar-sedar sahaja, 31 hari Januari telah berlalu, dan kita telah melakukan segala langkah yang diperlukan untuk kurangkan berat badan. Kita telah mengawal pengambilan makanan, kira kalori yang masuk dan keluar. Kita telah melakukan senaman, sekurang-kurangnya 3 ~ 5 kali seminggu.

Atau mungkin, kita tak berbuat apa-apa, kawal makan pun tidak, bersenam apatah lagi, di awal bulan Febuari, kita merasakan “alahai.. kenapalah lambatnya nak kurus nih..”

Oleh sebab itu, saya amat menggalakkan kita semua yang ingin kurangkan berat badan untuk membaca buku Aku Dah Kurus, Kau Bila Lagi? yang ditulis oleh saudara Aizat Razak dan rakan-rakan yang dah berjaya kuruskan badan. Kita akan dapat memahami bahawa proses untuk kurangkan berat badan memang akan mengambil masa. Itu hukum alam. Cumanya jika kita mahu berasa masa berlalu dengan cepat, sibukkan diri dengan banyak aktiviti-aktiviti yang bermanfaat, dan kesannya, kita tak sedar kita di penghujung bulan Feb 2017 dengan hasil hampir 8kg berat badan dikurangkan.

Apakah aktiviti-aktiviti yang bermanfaat yang boleh lakukan supaya kita berasa masa itu berlalu dengan cepat? Dan pada masa yang sama kita membakar kalori sedikit demi sedikit dalam mengurangkan berat badan. Aktifkan diri kita dengan mengemas rumah kita, menyapu, mengemas ruang tamu, mengemas bilik tidur dan sebagainya. Jika di tempat kerja, cabar diri untuk menggunakan tangga untuk ke tingkat yang lebih atas. Kalau hendak ke tingkat 10 dari tingat 1, cabar diri gunakan tangga. Sedar tak sedar, kita dah sampai ke petang hari.

Lakukan pula senaman. Pada peringkat awal, saya sering mengalami terseliuh pergelangan kaki dan akhirnya membengkak apabila saya berjogging. Kini saya amalkan senaman impak rendah yang menyasarkan kepada kardio (low impact cardio workout). Lebih bertambah semangat, apabila isteri saya turut sama-sama bersenam mengikut kepada arahan jurulatih dalam video senaman ini.

30 minit akan habis, dan kita akan berasa segar dan bertenaga untuk aktiviti sebelah malamnya. Bagi kita yang dah berkeluarga, malam-malam beginilah nak layan kerenah anak-anak. Melayan kerenah anak-anak juga boleh dikategorikan sebagai aktiviti yang aktif, jika kita turut serta bersama mereka, tidak sekadar duduk di kusyen sambil perhatikan mereka dari jauh sahaja.

Sedar-sedar sahaja, sudah habis satu hari kita bergerak aktif membakar kalori, di samping kita berhati-hati dengan saiz hidangan makanan kita dari pagi, tengahari, petang, hinggalah ke malam. Selain dari makanan, minuman manis juga kita sedaya-upaya hindari atau kurangkan.

Saya dah cuba, memang ternyata proses menurunakn berat badan itu perlahan sungguh. Cepat atau lambat itu sebenarnya hanyalah perasaan kita yang sangat relatif. 2 jam cerita wayang rasa sangat cepat berlalu berbanding 2 jam berjalan kaki di taman rekreasi.

Tags: Random

  • Created on .
  • Hits: 955