Baca Buku, Edit Video, Jalan-jalan.

Buku

Secangkir Teh Pengubat Letih

Karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Naskhah yang merakam cataan kembara beliau di bumi khilafah Othmaniyyah, pada mengenal hati budi kenalan dan teman, yang sudah lama berkongsi persaudaraan atau yang disapa di pinggir jalanan.

Semua itu adalah cara Allah mendidik untuk melihat Islam dengan penuh yakin, bahawa sehitam mana pun gelapnya malam, sentiasa ada kunang meminjamkan cahaya, bekal menanti sinarnya gelita hingga terbit fajar janji-Nya.

Kalau dahulu, bila nama negara Turki disebut, yang terlintas di minda saya ialah nama Kamal Ataturk. Banyak juga cerita yang saya dengar tentang jahatnya Kamal Ataturk dan bagaimana bumi tidak menerima mayat Ataturk. Namun saya tidak dapat sahkan kebenaran cerita-cerita itu.

Selain dari Ataturk, pada masa kini, bila nama Turki disebut, yang selalu terlintas di minda, orang suka pergi bercuti di Istanbul, melihat Masjid Biru dan tempat-tempat yang menarik untuk melancong.

Dengan membaca catatan kembara Secangkir Teh Pengubat Letih ini, saya berpeluang mengembara ke Turki pada era 90-an.

Ustaz Hasrizal menyingkap sisi positif Turki, menyangkal persepsi kebanyakan kita yang Turki itu begitu sekular. Rupanya kaum Muslimin di sana bagaikan berjuang dalam memilih untuk mengamalkan Islam.

secangkir teh pengubat letih 20150125 01

Syukur, alhamdulillah kita di Malaysia dikurniakan ruang dan peluang yang luas untuk memilih IMAN dan IMPIAN.

Antara kisah yag menarik perhatian saya ialah cerita tudung. Ya, tudung, hijab, alat melindungi aurat wanita itu. Puak sekular sungguh anti dengan manifestasi keimanan muslimat dengan bertudung. Pelbagai usaha jahat dilakukan, mengharamkan tudung di tempat kerja bahkan di institut pengajian tinggi.

Kisah yang wajar kita contohi, betapa banyaknya belia yang hafiz Al-Quran dilahirkan di Turki. Pada usia muda, anak-anak dipaksa ke sekolah tahfiz, ada yang berjaya hafal 30 juzuk lengkap dalam masa setahun! Kaedah hafalan mereka juga agak unik.

Mula-mula hafal muka surat pertama juzuk 1, kemudian hafal halaman pertama juzuk 2, dan begitulah seterusnya untuk juzuk 3,4,5 sehinggalah juzuk 30. Kemudian, hafal pula halaman kedua juzuk 1, halaman kedua juzuk 2, dan halaman kedua juzuk 3,4,5 dan seterusnya hingga juzuk 30. Pelajar akan jadi teruja untuk mempertemukan halaman 20 (halaman hujung) juzuk 1 dengan halaman pertama juzuk 2.

Unik sekali kaedah hafalan mereka.

Seronok membaca pengalaman orang mengembara ke negara lain, melihat dari sudut positif, insyaAllah, mendapat yang positif.

Ini merupakan buku pertama yang saya baca untuk tahun 2015 ini. Seterusnya, mungkin buku dalam kategori catatan kembara juga.


Sedikit kesilapan teknikal yang saya perasan, kehilangan bab 20 - 22. Adakah ini berlaku dalam naskhah yang saya pinjam ini sahaja, atau berlaku dalam naskhah-naskhah yang lain juga? Saya tiada maklumat.

 secangkir teh pengubat letih 20150125 02secangkir teh pengubat letih 20150125 03