Baca Buku, Edit Video, Jalan-jalan.

Aku Dah Kurus! Kau Bila Lagi?

Buku ini merupakan kompilasi 88 kisah kejayaan mereka yang berjaya menurunkan berat badan melalui kawalan makan dan juga senaman. Atau dalam kata lain, menurunkan berat badan melalui cara yang fitrah, tidak berlapar, makan 6 kali sehari. Namun pemilihan menu makanan, itu yang menjadi cabarannya, serta saiz hidangan nasi yang kecil, itu yang mencabar diri yang ingin berjaya menurunkan berat badan.

Saya rasa tertarik untuk beli buku ini kerana melihatkan isteri saya yang nampak bersungguh-sungguh memulakan diet dengan mengawal makan, sehingga ada ketika nampak dia begitu lapar. Bagi memberikan isteri saya motivasi dan juga ilmu diet yang betul, saya belikan untuk dia buku Aku Dah Kurus! Kau Bila Lagi? ini.

Buku ini saya beli di kedai buku MPH yang terletak dalam Bangi Gateway. Harganya RM38.00 senaskhah. Bagi saya, harganya berpatutan untuk sebuah buku setebal 367 halaman, dan dicetak berwarna atas kertas licin. Yang membuatkan ianya lebih berbaloi ialah ilmu serta kata-kata dorongan dari 88 orang yang sudah berjaya menurukan berat badan melalui cara yang fitrah (yang semua orang boleh lakukan), serta cara yang tidak bersusah payah berlapar.

Kenapa 88 orang? Kenapa tidak dicukupkan 100 orang? Mungkin penerbit buku ini mahu gunakan angka 8 yang agak simbolik dengan orang gemuk? Mungkin juga. :D


Ada juga disertakan resepi menu sihat untuk dicuba.

Bagi anda yang sedang berhempas pulas menurunkan berat badan, eloklah dapatkan buku ini bagi memberi anda dorongan dan motivasi di kala anda kurang bersemangat. Jikalau anda prihatin kepada adik-beradik, saudara-mara, atau rakan-rakan yang sedang dalam perjalanan menurunkan berat badan, saya kira, buku ini hadiah yang paling cantik buat mereka.

Anda boleh beli secara online buku Aku Dah Kurus! Kau Bila Lagi? ini di bookcafe.

Selamat berjuang, menguruskan nafsu makan, semoga berjaya mendapat berat badan ideal. :)